Merbok, 14 Mei 2025 – Pemeriksaan keselamatan kebakaran bagi tujuan pembaharuan Perakuan Bomba telah dijalankan di Bangunan Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah pada 14 Mei 2025 (Rabu). Pemeriksaan ini dilaksanakan oleh pegawai dari Bahagian Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah, iaitu Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Zulkifli Manaf dan Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Hizami Ahmad Azraai. Pemeriksaan tersebut telah dijalankan pada jam 10:00 pagi hingga 10:30 pagi dan berlangsung di kawasan premis perpustakaan berkenaan.


Objektif utama pemeriksaan ini adalah untuk memastikan bahawa bangunan Perpustakaan Sultan Badlishah memenuhi semua keperluan keselamatan kebakaran seperti yang telah ditetapkan oleh JBPM. Pemeriksaan ini juga bertujuan menilai keberkesanan dan kecekapan sistem pencegahan serta perlindungan kebakaran yang telah dipasang di bangunan berkenaan. Antara aspek yang diberi perhatian termasuklah keupayaan sistem penggera kebakaran, sistem penyembur air automatik (sprinkler), alat pemadam api, laluan keluar kecemasan, pencahayaan kecemasan serta tanda-tanda keselamatan yang diperlukan dalam situasi kebakaran.









Pemeriksaan ini merupakan sebahagian daripada prosedur wajib bagi pembaharuan Perakuan Bomba bagi tahun 2025 hingga 2026. Ia adalah penting bagi memastikan bangunan institusi pendidikan seperti perpustakaan ini sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dan mematuhi standard keselamatan yang telah digariskan. Selain daripada mematuhi undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan, ia juga bertujuan melindungi nyawa pengguna dan harta benda sekiranya berlaku sebarang insiden kebakaran.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan pemeriksaan ini mencerminkan komitmen pihak pengurusan UiTM Cawangan Kedah dalam memastikan keselamatan premis dikekalkan pada tahap terbaik. Tindakan susulan terhadap sebarang penemuan atau cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan ini akan diambil secara proaktif demi menjamin kelangsungan dan keselamatan operasi bangunan perpustakaan ini.
Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan