Program Literasi Pintar: Bacaan Pantas Semai Minat Membaca Murid SK Air Merah

Kulim, Kedah – Program Literasi Pintar: Bacaan Pantas telah berjaya dianjurkan di Sekolah Kebangsaan Air Merah, Kulim pada 21 April 2025 dengan penyertaan seramai 304 murid Tahun 5 dan 6. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan membaca serta tahap pemahaman dalam kalangan murid, di samping memupuk minat membaca sejak usia muda.

Program yang berlangsung separuh hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga sekolah dan turut dimeriahkan dengan penglibatan ahli Kelab Briged Sukarelawan Perpustakaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Mereka bertindak sebagai fasilitator dan urusetia sepanjang program berlangsung, sekali gus membantu melancarkan pelaksanaan aktiviti.


Sepanjang program, murid-murid dibahagikan kepada kumpulan kecil dan terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan teknik membaca pantas. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan dengan bimbingan rapat daripada fasilitator, yang memberikan tunjuk ajar dan sokongan untuk memastikan objektif pembelajaran tercapai.

Secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan yang sangat positif daripada semua murid dan diharapkan dapat menjadi pencetus kepada peningkatan budaya membaca serta dapat membantu mereka mengaplikasikan strategi membaca pantas dalam pembelajaran harian.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply