Merbok, 23 April 2025 – Program LIVE@PTAR PSB: Kenali Hasil & Rahsia Jimat Cukai, anjuran Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), telah berjaya dilaksanakan pada 23 April 2025 bertempat di Perpustakaan Sultan Badlishah.
Program ini bertujuan menyalurkan maklumat berkaitan sistem percukaian, meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat serta memupuk rasa tanggungjawab sebagai pembayar cukai. Selain itu, ia turut membuka ruang kerjasama strategik antara UiTM Cawangan Kedah dan LHDNM melalui sesi bimbingan e-Filing.




Program telah berlangsung secara dalam talian melalui platform YouTube Perpustakaan Sultan Badlishah pada jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan menerima penyertaan seramai 216 orang. Panel jemputan, Puan Natasha Binti Adnan, Pegawai Eksekutif dari Seksyen Khidmat Pelanggan, LHDNM Kedah, berkongsi maklumat penting berkenaan kepentingan cukai, cara penjimatan melalui potongan dan rebat, serta langkah-langkah pengisian e-Filing yang betul.
Secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan menggalakkan serta maklum balas positif daripada para peserta. Ia diharap dapat diteruskan sebagai inisiatif berterusan dalam memperkasakan literasi percukaian dalam kalangan masyarakat.
Penulis : Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan