Bengkel Asas Penyediaan Tugasan Akademik UiTM [Siri 1-Dalam Talian]

Tarikh: 11 April 2025, Jumaat
Masa : 10.00 pagi- 12.00 tengah hari
Platform : Dalam talian [Google Meet]
Penglibatan: 175 orang peserta
Penceramah:
1. Cik Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan
2. Saudara Muhammad Najmi Hadi bin Nazli, Pelajar Diploma Muamalat ACIS
3. Saudara Muhammad Hamiz Hazim bin Mohd Azmi, Pelajar Diploma Muamalat ACIS
Pengerusi Majlis: Saudara Azim Hakimi Mohd Yusni, Pelajar Diploma Muamalat ACIS

Bengkel Asas Penyediaan Tugasan Akademik anjuran Perpustakaan Cendekiawan dan Kelab SKATER UiTMCT telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, khususnya pelajar baharu yang ingin meningkatkan kemahiran dalam menyediakan tugasan akademik dengan lebih teratur dan mengikut format yang betul.

Program ini dilaksanakan sebagai inisiatif pihak perpustakaan untuk membantu pelajar dalam menyediakan dokumentasi tugasan, mengenalpasti sumber rujukan yang sahih, serta mempelajari asas penyediaan sitasi mengikut format akademik yang ditetapkan. Bengkel ini dirangka berdasarkan permasalahan dan pertanyaan lazim yang diterima di kaunter dan meja rujukan perpustakaan.

Menariknya, bengkel ini diadakan pada hujung minggu bagi memberi ruang kepada semua pelajar tanpa mengganggu waktu kuliah mereka. Turut terlibat dalam menjayakan bengkel ini ialah pelajar daripada Kelab SKATER UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) yang bertindak sebagai Briged Sukarelawan Perpustakaan. Mereka turut menyampaikan ceramah dan berkongsi pengalaman serta kaedah mudah dalam penyediaan sitasi, sekali gus membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan kehendak tugasan akademik di peringkat universiti.

Penyampaian dilakukan dalam suasana santai dan menggunakan bahasa yang mudah difahami, menjadikan pengisian bengkel lebih menarik dan mudah dihadam oleh peserta. Usaha ini juga dilihat dapat memupuk keyakinan diri dalam kalangan sukarelawan serta menggalakkan budaya berkongsi ilmu di kalangan pelajar.

Secara keseluruhan, bengkel ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dan mendapat maklum balas positif daripada para peserta. Pihak perpustakaan berharap agar segala ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepanjang tempoh pengajian pelajar di UiTM.

Nota: Students’ Knowledge and Technology Resources – SKATER merupakan kelab di bawah seliaan Perpustakaan UiTMCT.

Disediakan oleh: Cik Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply