WORLD #QURANHOUR2025

PROGRAM WORLD #QURANHOUR DI UiTM CAWANGAN PAHANG KAMPUS JENGKA

Perpustakaan Al-Bukhari dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan Program World #QuranHour bersempena dengan sambutan World #QuranHour yang berlangsung serentak di seluruh dunia pada 24 Ramadan 1446H.

Program ini diadakan secara hibrid (fizikal dan maya) dan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga UiTM Cawangan Pahang. Bacaan Surah As-Saff telah dipimpin oleh Ustaz Muhammad Faridzul Bin Fadzil, Pegawai Eksekutif Kanan UHEI, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) bersama Rektor UiTM Cawangan Pahang, yang memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen kepimpinan dalam menggalakkan budaya Al-Quran dalam kalangan warga universiti serta memperkukuh nilai-nilai keislaman dalam institusi akademik.

Program World #QuranHour bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan hubungan umat Islam dengan Al-Quran tetapi juga bagi menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Pembudayaan Al-Quran melalui tadabbur dan penghayatan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya dapat membentuk individu yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Justeru, adalah diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan demi melahirkan generasi yang celik Al-Quran dan mencintai ilmu.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang telah menyertai program ini. Semoga program ini terus menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran serta membawa manfaat kepada seluruh ummah.

Disediakan oleh : Puan Noor Azliza Binti Aziz, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Al-Bukhari UiTM Caw. Pahang Kampus Jengka

Leave a Reply