Program Pembudayaan Ilmu : Hikmah Al-Quran

Merbok, 17 Mac 2025 – Pembudayaan ilmu adalah proses menyemai dan memperkembangkan ilmu pengetahuan yang dapat memperkasakan pemikiran kritis, inovasi, dan pembangunan intelektual. Program pembudayaan ilmu juga melibatkan pelbagai aktiviti yang dirancang untuk memberi pendedahan kepada seluruh warga UiTM mengenai pentingnya ilmu dalam kehidupan seharian dan cabaran global.

Objektif ialah membina nilai positif terhadap ilmu serta menghargainya sebagai satu aset penting dalam kehidupan, memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan ilmu kepada seluruh masyarakat. Selain itu, secara tidak langsung dapat mengekalkan dan mengembangkan warisan ilmu tempatan serta memperkasa identiti bangsa dengan menambahbaik kemahiran berfikir dan menguasai pelbagai bidang ilmu.

Pada 17 Mac 2025, pihak Perpustakaan Sultan Badlishah UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program Pembudayaan Ilmu bertajuk Hikmah Al-Quran yang disiarkan secara langsung melalui platform dalam talian YouTube. Program ini disampaikan oleh Ustaz Ahmad Afiq Irshad, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Kedah. Program ini telah disertai oleh 323 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan akademik dan pentadbiran seluruh UiTM serta orang awam. Dengan pelaksanaan program seperti ini diharapkan semua peserta program ini khususnya, dapat lebih memahami dan mengamalkan hikmah yang terkandung dalam Al-Quran serta memperkaya aspek rohani dan intelektual dengan ilmu yang bermanfaat.

Penulis : Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply