5 Mac 2025: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar dengan kerjasama Pusat Sumber Tun Hamdan (PSTH) SMK Iskandar Shah telah menganjurkan Bengkel Speed Reading pada 19 Disember 2024 bertempat di SMK Iskandar Shah, Parit. Bengkel yang berlangsung dari 11.00 pagi hingga 1.00 petang ini dikendalikan oleh Encik Akhimulah Azmi, Pembantu Pustakawan serta Encik Mohd Azhari bin Maarop, Pembantu Pustakawan Kanan dan dibantu oleh Encik Razman bin Zainal Abidin, Pembantu Pustakawan Kanan bersama Nur Najwa Insyirah Binti Azhar, Pelajar Latihan Industri PTAR. Turut Hadir bagi memeriahkan bengkel ini ialah Puan Nur Dayana binti Mohd Narwawi, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Perak.
Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik bacaan pantas yang menggabungkan keupayaan kognitif bagi meningkatkan kelajuan membaca tanpa mengorbankan pemahaman. Antara cara yang diajar termasuk kaedah fiksasi mata, penggunaan jari sebagai panduan dan aplikasi kad indeks. Peserta turut menjalani latihan membaca, kuiz interaktif serta menikmati persembahan multimedia yang merangkumi tayangan video berkaitan Speed Reading.
Secara keseluruhannya, peserta bengkel memberikan maklum balas positif, menyatakan bahawa teknik yang dipelajari sangat membantu dalam tugas harian serta meningkatkan kecekapan membaca dan memahami bahan dengan lebih pantas. Bengkel Speed Reading ini merupakan sebahagian daripada Program Kerjasama Komuniti Perpustakaan PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar dengan Pusat Sumber Tun Hamdan (PSTH) SMK Iskandar Shah sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan literasi membaca dalam kalangan pelajar dan pendidik.




Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail , Pembantu Pustakawan Kanan , PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar