13 Februari 2025 – Buat julung kalinya, Safer Internet Day (SID) disambut di UiTM Cawangan Pulau Pinang bagi mempromosikan keselamatan internet dengan mendidik dan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan warga kampus. SID 2025 edisi Malaysia yang bertemakan “Kepercayaan Digital: Membina Komuniti Berdaya Tahan” ini dianjurkan oleh Bahagian Infostruktur UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTMCPP, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTMCPP, Bahagian Pentadbiran UiTMCPP dan Bahagian Bendahari UiTMCPP.
Program ini telah pun dirasmikan oleh Profesor Ir. Ts. Dr. Juliana Johari, Ketua Pegawai Digital (CDO), Jabatan Digital UiTM bertempat di Ruang Library Community Engagement PTAR Kampus Permatang Pauh. Di dalam ucapannya, beliau mengingatkan kepada warga kampus supaya berwaspada dengan teknologi masa kini seperti AI dan Deepfake yang membolehkan penipuan dalam talian berlaku dalam bentuk yang sukar dikesan. Selepas majlis perasmian, beliau turut dibawa melawat reruai pameran yang disediakan oleh rakan strategik program yang terdiri daripada Digital Penang, Switch, Urban Republic by Switch, Affin Bank, Bank Rakyat dan Polis Diraja Malaysia.

Antara pengisian program yang dijalankan sepanjang sambutan SID 2025 di UiTM Cawangan Pulau Pinang adalah beberapa sesi ceramah yang telah disampaikan oleh jabatan dan agensi iaitu Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Pulau Pinang, Bank Kerjasama Rakyat serta Switch. Semua ceramah yang disampaikan ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan panduan kepada warga kampus dalam mewujudkan ekosistem siber yang lebih selamat dan sejahtera.

Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan