27 Januari 2025 – Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tuan Ts. Haji Azizi Haji Jantan telah mengadakan lawatan rasmi ke Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) di Kampus Permatang Pauh dan Kampus Bertam. Lawatan ini bertujuan untuk bertemu dengan staf-staf perpustakaan cawangan di samping meninjau fasiliti serta membincangkan usaha penambahbaikan perpustakaan dalam menyokong keperluan akademik dan penyelidikan.
Lawatan bermula dengan kunjungan hormat Tuan Ts. Haji Azizi ke atas YBhg. Prof. Dato’ Ir Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali, yang menjalankan fungsi Rektor UiTMCPP, di pejabat Rektor. Perbincangan antara kedua-dua pihak tertumpu kepada inisiatif dan strategi perpustakaan dalam memperkasakan peranan PTAR sebagai pusat sumber ilmu yang berteraskan teknologi AI sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini.

Ketua Pustakawan kemudian meneruskan lawatan ke ruang cadangan Unit Arkib Cawangan di Kolej Zamrud serta meninjau ruang serta kemudahan PTAR UiTMCPP dengan diiringi oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar. Selain itu, staf di PTAR UiTMCPP turut berpeluang mendengar ucapan dan amanat ringkas oleh Ketua Pustakawan di Ruang LCE.


Pada sebelah petang, lawatan diteruskan ke Kampus Bertam, di mana Tuan Ts. Haji Azizi di sambut mesra oleh Ts. Dr. Mohamad Azhar Mohd Noor, Penolong Rektor Kampus Bertam bersama beberapa orang staf pentadbir di Kampus Bertam. Beliau turut melawat sekitar PTAR UiTMCPP Kampus Bertam diiringi oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar dan Puan Nurhayati Hassan, Pustakawan Kanan PTAR Kampus Bertam.
Lawatan ke perpustakaan cawangan ini mencerminkan komitmen Ketua Pustakawan UiTM dalam memastikan PTAR UiTMCPP terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang menyokong pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan di UiTMCPP. Beliau juga berharap semua staf perpustakaan berganding bahu dalam menjayakan hala tuju yang telah dirangka agar perpustakaan sentiasa relevan dalam memenuhi keperluaan warganya.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan