Bengkel AI Generatif : Transformasi Gaya Kerja untuk Produktiviti

Pada 14 Januari 2025, Bengkel AI Generatif: Transformasi Gaya Kerja untuk Produktiviti telah berlangsung di Pusat IT, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Pulau Pinang. Bengkel ini dihadiri oleh para peserta daripada beberapa jabatan sekitar Pulau Pinang antaranya Institut Latihan Perindustrian (ILP), Politeknik, Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta staf UiTM Cawangan Pulau Pinang. Kehadiran yang memberangsangkan ini mencerminkan minat mendalam terhadap penerokaan potensi AI generatif dalam memacu produktiviti di tempat kerja.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Ts. Dr. Suhailah Mohamed Nor, pembimbing AI dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Antara kandungan utama bengkel adalah pengenalan kepada AI Generatif di mana peserta diberi pendedahan tentang konsep asas AI generatif, termasuk penerapan teknologi ini dalam pelbagai sektor. Selain itu, peserta juga diterangkan tentang penggunaan prompt untuk mengoptimumkan pencarian AI Generatif. Sesi ini menekankan bagaimana prompt yang dirangka dengan baik dapat membantu pengguna mendapatkan hasil yang lebih tepat dan relevan daripada AI generatif. Peserta juga dibekalkan dengan latihan praktikal untuk memberikan pengalaman langsung kepada peserta dalam membina dan mengoptimumkan prompt, sekaligus memperkukuh pemahaman mereka tentang aplikasi praktikal teknologi ini.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah memberikan pengetahuan dan kemahiran praktikal yang berguna kepada peserta yang terlibat dalam menghadapi perkembangan pesat teknologi AI. Dengan pendedahan ini, diharapkan agar peserta dapat memanfaatkan AI generatif untuk meningkatkan kreativiti, produktiviti, dan inovasi dalam kerjaya mereka.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply