Pada 15 Oktober 2024, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam, dengan kerjasama DAH Digital, Digital Penang, telah berjaya menganjurkan Program Digital Literasi: Keselamatan Siber (Siber Buli & Scammer). Program ini disertai oleh 78 orang peserta, terdiri daripada kalangan staf dan pelajar UiTM yang hadir bagi mendalami isu keselamatan siber, yang semakin kritikal dalam era digital masa kini.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta mengenai ancaman siber seperti siber buli dan scammer, yang sering kali tidak disedari, namun boleh memberikan kesan negatif yang mendalam kepada mangsa. Di samping itu, program ini memberi pengetahuan praktikal kepada peserta mengenai cara untuk melindungi diri daripada ancaman ini, serta langkah-langkah keselamatan siber yang patut diamalkan dalam penggunaan teknologi harian.
Antara objektif khusus program ini adalah:
1. Memberi pendedahan kepada staf dan pelajar mengenai jenis-jenis ancaman siber.
2. Mengajar teknik pengesanan awal terhadap ancaman siber seperti scammer dan siber buli.
3. Meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab keselamatan dalam talian bagi pengguna digital.
4. Mempersiapkan peserta dengan kemahiran asas untuk melindungi maklumat peribadi dan keselamatan identiti mereka dalam dunia siber.
Program bermula tepat pada jam 10.00 pagi di PTAR UiTM Kampus Bertam, dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ts. Dr. Mohamad Azhar bin Mohd Noor, Penolong Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam. Beliau menekankan kepentingan kesedaran mengenai ancaman siber dalam komuniti kampus dan menyeru para peserta untuk memanfaatkan sepenuhnya program ini.
Sesi ceramah utama dibawa oleh Encik Kaygarn Tan, penceramah dari DAH Digital, Digital Penang, yang berpengalaman luas dalam memberikan latihan dan ceramah mengenai keselamatan siber. Dalam ceramah tersebut, beberapa topik penting telah dibincangkan:
– Penipuan dalam talian (scam): Jenis-jenis scam yang sering digunakan untuk memperdaya pengguna internet, cara mengenal pasti penipuan, serta tindakan yang boleh diambil untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.
– Amalan terbaik keselamatan siber: Langkah-langkah praktikal yang boleh diamalkan oleh semua pengguna untuk melindungi maklumat peribadi mereka, termasuk penggunaan kata laluan yang selamat, pengurusan data peribadi, dan pengenalan teknologi keselamatan terkini.
Sepanjang sesi ceramah, para peserta memberikan respon yang sangat positif. Mereka menunjukkan minat yang tinggi, dengan mempelajari cara mengenali penipuan dalam talian dan strategi untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa siber buli.
Program ini juga melibatkan perbincangan mengenai kesan psikologi terhadap mangsa scammer, di mana penceramah menekankan pentingnya sokongan sosial dan pemahaman dari kalangan rakan dan keluarga terhadap mangsa. Langkah pencegahan yang boleh diambil di peringkat individu, komuniti, dan organisasi juga ditekankan bagi mewujudkan suasana digital yang lebih selamat.
Selain meningkatkan kesedaran keselamatan siber, program ini turut membantu peserta mempersiapkan diri untuk menghadapi ancaman digital, terutamanya dalam melindungi maklumat peribadi dan data sensitif. Kerjasama dengan DAH Digital, Digital Penang juga membuka peluang kepada UiTM untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam inisiatif literasi digital di masa akan datang.
Secara keseluruhannya, Program Digital Literasi: Keselamatan Siber (Siber Buli & Scammer) berjaya mencapai matlamatnya dalam memberi kesedaran dan mendidik komuniti UiTM tentang ancaman siber yang berpotensi. Diharapkan program ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan topik-topik literasi digital lain yang relevan dengan perkembangan semasa.