Pada 19 November 2024 (Selasa), Perpustakaan Cendekiawan, UiTMCT Kampus Kuala Terengganu telah mengadakan ulasan buku yang bertajuk Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Perkongsian hebat ini disampaikan oleh Dr. Wan Helmy Shahriman Wan Ahmad, Pensyarah Kanan, UiTMCT Kampus Kuala Terengganu bermula jam 10.00 pagi – 11.00 pagi dan penyertaan sebanyak 89 orang secara bersemuka dan atas talian.
Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam merupakan karya Syed Muhammad Naquib al-Attas. Karya ini menerangkan cara seseorang Muslim seharusnya melihat dan berfikir tentang alam dan isinya termasuk dirinya sendiri dengan bertafakkur akan keagunggan Sang Pencipta. Menurut penulisan al-Attas, “Bahasa merupakan alat akal fikri yang sekaligus juga mempengaruhi pemikiran si penggunanya.”
Ia turut menjelaskan makna sebenar daripada sudut pandangan alam Islam iaitu apa itu kemajuan sejati, apa itu akhlak dan apa itu kebahagiaan sebenar (sa’adah) yang melewati hal-hal keduniaan semata-mata. Selain itu, turut berkongsi mengenai makna PERI iaitu SIFAT dalam diri kita. Ia juga merungkai kecelaruan di tahap ilmu yang melanda pemikiran umat Islam sejagat.
Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua warga Universiti yang telah meluangkan masa selama sejam bagi menjayakan program ini. Terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam menjayakan program ulasan buku ini. Ternyata penyampaian ini memberi impak positif, dan mendapat maklum balas yang amat baik daripada para peserta, terutamanya warga UiTM.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua.
Disediakan oleh: Puan Nurmaisari Che Anuar, Pustakawan UiTMCT Kampus Kuala Terengganu