Bertam, Pulau Pinang – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan jayanya telah menganjurkan program “School Break Fun Learning: I Want to Be a Scientist” pada 23 dan 24 Disember 2024. Program ini melibatkan 100 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dari pelbagai sekolah sekitar Pulau Pinang dan Kedah. Program ini bertujuan untuk mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti-aktiviti yang berinformasi dan menyeronokkan, selaras dengan misi perpustakaan untuk memupuk minat terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Lebih daripada 25 aktiviti menarik telah dirancang sepanjang program “School Break Fun Learning: I Want to Be a Scientist” untuk memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta. Program ini dimulakan dengan sesi Senam Sihat / Energy Boost dan Ice Breaking, yang membantu mencipta suasana mesra dan menyeronokkan.
Peserta kemudiannya dibawa ke dunia astronomi melalui aktiviti “Kenali Bintang Kita: Ayuh Cerap Matahari!” (Sun Gazing), di mana mereka diberi peluang mencerap matahari menggunakan alat khas.
Selain itu, sesi Sensory Exploration memberi peluang kepada peserta untuk mengasah deria mereka untuk memahami dunia di sekeliling mereka.
Eksperimen sains praktikal turut menjadi tarikan utama program ini. Dalam “Makmal Genius: Ramuan Bebas Kuman” (Genius Lab: Germ-Free Potion), peserta mempelajari cara membuat Sanitizer.
Manakala aktiviti Saintis Comot, yang menampilkan eksperimen gunung berapi DIY, memberikan pengalaman sains yang penuh warna-warni.
Aktiviti “Are You A Scientist?” memperkenalkan tiga stesen interaktif: Anatomy Word Searching, Flea Life Cycle, dan Kill That Pathogens!, di mana peserta mempelajari konsep sains asas melalui pendekatan permainan.
Melalui pendekatan yang menarik dan santai, peserta diperkenalkan kepada dunia sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), seperti Search And Write It!, Robotic Hand, Roket Belon, Solar System, Respiratory Model, Tauge Farm, Shaky-shaky Ice Cream, Think Outside The Box, Magic Draw, dan Continuous Maze.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan cabaran intelektual melalui Health Education Quiz, di mana mereka mempelajari konsep kesihatan dalam bentuk kuiz interaktif.
Di samping itu, sesi “Wartawan Cilik” turut dianjurkan untuk membentuk keyakinan diri peserta dengan menonjolkan bakat mereka dalam berkomunikasi. Peserta diberi peluang untuk menemuramah rakan-rakan mereka sambil berkongsi pengalaman sepanjang program.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah setiap aktiviti telah direka khusus untuk memupuk minat terhadap sains, meningkatkan kreativiti, dan memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh peserta sepanjang dua hari program ini.
Program ini mendapat sokongan penuh daripada Penolong Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, kakitangan perpustakaan yang berdedikasi, dan pasukan fasilitator yang mantap. Empat pelajar latihan industri yang kreatif serta ceria bersama 12 ahli Briged Sukarelawan Perpustakaan turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Kerjasama dengan wakil-wakil program dari Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Farmasi juga menyumbang kepada kelancaran aktiviti yang dirancang.
Pihak PTAR UiTMCPP Kampus Bertam juga berharap program ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mencetus minat yang mendalam terhadap sains dan pembelajaran di kalangan peserta.
“School Break Fun Learning: I Want to Be a Scientist” telah memberi impak yang positif kepada semua pihak yang terlibat dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak inovasi menarik.