Program Jelajah Teknologi IR 4.0 Bersama Briged Sukarelawan Perpustakaan

29 Oktober 2024 – Buat julung kalinya Kelab Briged Sukarelawan Perpustakaan dengan kerjasama PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Kampus Permatang Pauh telah mengadakan Program Jelajah Teknologi IR 4.0 ke Makerspace@EngLib, USM Kampus Kejuruteraan dan Penang Science Cluster (PSC), Georgetown. Program ini disertai oleh 30 orang ahli Kelab Briged Sukarelawan Perpustakaan bersama staf PTAR, pelajar latihan industri dan Penyelaras Inovasi UiTMCPP.

Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan Makerspace dan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dalam pembelajaran berasaskan projek. Ianya juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memupuk inovasi dan kreativiti dalam kalangan peserta bagi menyemai Budaya Pembuat (Maker Culture).

Destinasi pertama lawatan adalah Makerspace@EngLib, sebuah ruang yang terletak di Perpustakaan Kampus Kejuruteraan USM. Makerspace ini dilengkapi dengan pelbagai alat canggih termasuk pencetak 3D, pengukir laser dan perisian rekaan yang menyediakan platform bagi sesiapa sahaja untuk mencipta dan menghasilkan projek mereka sendiri.

Seterusnya, peserta lawatan ke Penang Science Cluster (PSC) di Georgetown, yang merupakan sebuah organisasi yang menyokong pembangunan teknologi dan inovasi melalui pelbagai program dan inisiatif. PSC berperanan sebagai pemangkin dalam memperkenalkan idea-idea baru yang berkaitan dengan dunia STEM dan yang menepati tonggak Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). PSC juga mengendalikan bengkel seperti Mikrobit, Robotik Lego, Arduino, Pengaturcaraan Scratch, dan Permodelan 3D kepada komuniti setempat yang berminat.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dari segi pembelajaran dan pendedahan teknologi, tetapi ia juga memainkan peranan penting dalam menyemai semangat inovasi. Pihak perpustakaan juga berharap agar idea dan inspirasi yang diperolehi sepanjang lawatan ini dapat diaplikasikan di perpustakaan terutama dalam aspek pemanfaatan ruang dan teknologi.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply