Tarikh: 12 November 2024, Selasa
Masa: 8.00 pagi – 1.00 tengah hari
Lokasi: Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun
Penglibatan:
– Pelajar UiTM Cawangan Terengganu
– Pusat Tuisyen Al-Fateh Mumtaz Dungun
– Pelajar SK Batu 7
Ringkasan:
Program Semarak Jawi UiTM Cawangan Terengganu yang diadakan pada 12 November 2024 bertempat di Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun ini merupakan satu inisiatif bersepadu untuk menggalakkan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan peserta. Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, melibatkan penyertaan pelajar dari UiTM Cawangan Terengganu, dan pelajar dari SK Batu 7, Dungun. Manakala tenaga pengajar yang terlibat untuk melaksanakan program ini adalah guru-guru KAFA terlatih dari Pusat Tuisyen Al-Fateh Mumtaz Cawangan Dungun, dan dibantu oleh kakitangan Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun.
Tujuan utama program ini adalah untuk memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan budaya Melayu dan meningkatkan kemahiran dalam penggunaan tulisan tersebut. Dengan adanya penglibatan pelajar universiti serta pelajar-pelajar sekolah , program ini menjadi platform yang memperkukuhkan semangat perpaduan dan kolaborasi dalam usaha pemeliharaan warisan. Manakala peranan Pusat Tuisyen Al-Fateh yang terdiri daripada guru-guru KAFA terlatih pula bertindak sebagai pakar rujuk Jawi membantu memberi tunjuk ajar kepada semua untuk menguasai Jawi dengan betul. Aktiviti seperti bengkel, kuiz, dan sesi interaktif merupakan pengisian utama dalam program ini dirancang dan telah dilaksanakan dengan jayanya bagi memantapkan penguasaan Jawi dengan kaedah yang menarik dan kreatif.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan penguasaan Jawi, tetapi juga untuk menanamkan rasa bangga terhadap budaya sendiri dalam kalangan generasi muda, membina pemahaman mendalam tentang kepentingan Jawi dalam sejarah dan identiti bangsa, serta memupuk minat berterusan terhadap tulisan ini.
Disediakan oleh: Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan.