Kursus Pengurusan Keselamatan Perlindungan Dan Pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi UiTM Cawangan Kelantan

Unit Arkib Cawangan (UAC) Perpustakaan Tengku Anis UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Kursus Pengurusan Keselamatan Perlindungan Dan Pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi UiTM Cawangan Kelantan selama dua hari pada 14 & 15 Oktober 2024 bertempat di HRD Academy UiTM Cawangan Kelantan yang melibatkan Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ) yang telah dilantik.

Kursus ini bertujuan untuk menjelaskan tentang prosedur yang tepat dan jelas dalam pengurusan dokumen rahsia rasmi yang merupakan elemen kritikal dalam memastikan keselamatan maklumat terpelihara sekaligus melindungi integriti dan kerahsiaan maklumat dalam jabatan-jabatan kerajaan serta institusi khususnya UiTM.

Selain itu, ia juga untuk memberikan pengetahuan yang mendalam serta kefahaman yang tepat tentang pengurusan keselamatan perlindungan daripada perspektif Arahan Keselamatan. Dengan penghayatan yang betul terhadap arahan ini dapat memastikan setiap prosedur keselamatan yang diamalkan di organisasi berada dalam landasan yang betul, sejajar dengan kehendak peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

PTA telah menjemput dua orang panel jemputan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Kelantan iaitu Puan Sabariah binti Saudi (Pengarah Keselamatan Kerajaan) dan Encik Muhammad Faiz Rezuan bin Mohd Nasir (Penolong Pengarah Keselamatan Kerajaan).

Antara pengisian hari pertama yang telah disampaikan oleh Puan Sabariah binti Saudi adalah mengenai ancaman keselamatan, pengurusan keselamatan dari perspektif keselamatan fizikal dan peribadi. Hari pertama diakhiri dengan ucapan penutup daripada Encik Hishamudin Mohamad Twontawi, Timbalan Pendaftar Kanan UiTM Cawangan Kelantan dan sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah.

Manakala hari kedua pula kursus ini telah disampaikan oleh Encik Muhammad Faiz Rezuan bin Mohd Nasir yang berkongsi mengenai Akta Rahsia Rasmi 1972, kawalan dokumen dari perspektif menerima,
memproses, menyimpan, menghantar, menilai dan melupus. Diteruskan dengan perkongsian mengenai prosedur pengelasan dan pengelasan semula rahsia rasmi, pengendalian buku daftar rahsia rasmi & latih amal pengendalian buku daftar.

Kursus diakhiri dengan kata aluan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Dan Keselamatan Rekod Negeri iaitu Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan dan sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah.

Diharapkan semoga kursus ini dapat menjadi platform terbaik untuk para peserta berkongsi ilmu, meningkatkan kemahiran dan seterusnya memanfaatkan maklumat yang diperoleh dalam melaksanakan tugasan harian masing-masing dengan lebih cekap dan professional.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply