Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah mengadakan Program Literasi Maklumat Cuti Sekolah pada 20 September 2024. Program ini bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari dengan penyertaan selamai 8 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak staf dan komuniti sekitar.
Aktiviti yang telah dijalankan adalah Eksplorasi Maklumat dan Cendekia NILAM. Program ini membantu pelajar memperkukuhkan kemahiran literasi melalui aktiviti Eksplorasi Maklumat dimana para peserta diajar cara untuk mencari bahan bacaan di dalam internet. Seterusnya, para peserta diajar cara-cara untuk merekod bacaan NILAM dengan betul di laman web Advance Integrated NILAM System (AINS). Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) adalah inisiatif utama untuk menjadikan pelajar sekolah warga yang berilmu, serta mewujudkan tabiat membaca yang konsisten tanpa mengira peringkat usia.
Program ini selaras dengan tagline Perpustakaan UiTM iaitu “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa” yang menekankan pentingnya pengamalan ilmu dalam melahirkan individu yang mempunyai nilai mulia, berpengetahuan tinggi, dan berintegriti. Semoga inisiatif ini dapat menggalakkan budaya membaca dan melahirkan generasi muda yang berintelektual pada masa hadapan.