25 Julai 2024, Rabu – Bertempat di ruang LCE PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, telah berlangsung seminar TEKAD (Tempat Kerja Bebas Dadah) anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang dan PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang. Ianya turut mendapat kerjasama dari Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIMA), Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Objektif utama seminar ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penggunaan dadah di tempat kerja dan cara-cara untuk mewujudkan persekitaran kerja yang bebas dari pengaruh dadah. Selain itu, seminar ini juga memberikan panduan praktikal dan sokongan untuk membantu individu dan organisasi dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah.
Seramai 111 orang peserta dari pelbagai sektor awam dan swasta di Pulau Pinang telah menghadiri seminar yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Antara topik yang telah disampaikan ialah Slot 1: Cabaran Penagihan Dadah & Pengurusan Insiden Penyalahgunaan Dadah di Tempat Kerja oleh Puan Nur Farhana Md Yusoff, Penolong Pengarah PUSPEN Bukit Mertajam, Slot 2: Pengenalan Program Tempat Kerja Bebas Dadah oleh Puan Nor Hajar Aswat Kamis, Pegawai Perhubungan Awam AADK Negeri Pulau Pinang dan Slot 3: Penyalahgunaan Dadah dan Kesan Negatif Terhadap Tubuh Badan oleh Ts. Dr. Mohamad Halim Mohamad Shariff, Pensyarah UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam.
Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali telah berbesar hati merasmikan seminar ini. Turut hadir bersama mengiringi Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang adalah Pengarah AADK Pulau Pinang, Puan Elmariah Chung; Timbalan Rektor PJIMA UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof Madya Dr. Kay Dora Abd Ghani; Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang, Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar; Penolong Pengarah AADK Pulau Pinang, En Mohd Zaki Ablah dan Ketua AADK Daerah Seberang Perai Tengah, Puan Suridah Saadi.
Disediakan oleh : Rafidah binti Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan