Program CSR: Vitamin Ilmu Bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor

Buat kali keduanya Perpustakaan Tengku Anis (PTA) telah menganjurkan program kolaborasi bersama SMK Agama Melor selepas sesi lawatan daripada sekolah tersebut pada Januari lalu. Bagi program kali ini PTA mengadakan program CSR Vitamin Ilmu bersama SMK Agama Melor yang telah dijalankan pada 28 Julai 2024 bermula jam 9:00 pagi hingga 1:00 tengah hari bertempat di Bilik Seminar PTA. Program ini melibatkan seramai 41 orang pelajar tingkatan 4 dan bersama 4 orang guru pengiring.

Program ini merupakan satu inisiatif PTA dalam pembudayaan ilmu dan perkongsian pengetahuan atau wakaf ilmu yang melibatkan komuniti setempat untuk menyemarakkan semangat belajar sehingga ke menara gading serta mendedahkan kepada suasana pembelajaran di IPTA khususnya dalam pencarian maklumat.

Program dimulai dengan ucapan aluan daripada Puan Alina Hussein, Timbalan Ketua Pustakawan. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah taklimat kepimpinan pengawas pusat sumber yang telah disampaikan oleh Puan Norfitriah Mat Seman (Pustakawan Kanan).

Diteruskan dengan taklimat modul literasi maklumat daripada Puan Nordelina Zulkarnain (Pustakawan Kanan) bergandingan bersama Puan Nor Hazura Yunus, Pustakawan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut Terengganu yang merupakan sukarelawan PTA yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Doctor of Philosophy (Information Management) UiTM. Slot ini diteruskan dengan sesi soal jawab daripada pelajar yang mengajukan beberapa soalan berkaitan kerjaya seorang pustakawan kepada para penceramah dan para pelajar dilihat berminat dengan kerjaya tersebut setelah mengetahui skop tugas pustakawan yang sebenar.

Program diakhiri dengan rumusan daripada wakil pelajar dan guru, sesi penyampaian cenderahati dan lawatan berpandu sekitar PTA yang telah dikendalikan oleh staf unit perkhidmatan pelanggan.

Pihak PTA mengucapkan terima kasih kepada pihak SMK Agama Melor di atas kesudian untuk bekerjasama buat kali keduanya bagi menganjurkan program kolaborasi bersama PTA. Pihak PTA akan terus menyokong serta bersedia untuk berkerjasama lagi bagi program serta aktiviti pada masa akan datang.

Disediakan oleh: Cik Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply