Jaringan Kolaboratif Strategik Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu – SK Kompleks Seberang Takir

Pusat Sumber Sekolah (PSS) To’ Puan Seri Halina adalah PSS SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu, yang telah terpilih untuk Program Ilmu Mengubah Destini (IMD) Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Shah Alam dengan kerjasama Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu pada 2016 yang lalu. Pelbagai ubah suai dan kelengkapan telah dinaik taraf bagi menyediakan sebuah PSS yang menepati keperluan pembelajaran dan pengajaran. Pihak Perpustakaan Cendekiawan juga telah mengadakan beberapa sesi lawatan ke PSS ini selepas pelancaran program IMD tersebut.


Susulan daripada itu, pihak Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun bercadang untuk meneruskan jalinan kerjasama tersebut dengan melaksanakan sesi perkongsian ilmu dengan pengawas PSS di sekolah tersebut, di samping meningkatkan kemahiran mereka dalam mengendalikan koleksi pusat sumber untuk kegunaan warga sekolah tersbeut.

Justeru, telah diadakan satu sesi menandatangani dokumen Jaringan Kolaboratif Strategik Perpustakaan Cendekiawan, UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT), dan Sek. Keb. Kompleks Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu, pada 17 Julai 2024, Rabu yang lalu. Ia adalah merupakan inisiatif membina kerjasama dan menjalinkan perkongsian profesionalisme dua hala bagi mencapai objektif-objektif berikut:
a) Memberi panduan pengurusan koleksi yang betul kepada Pengawas Pusat Sumber SK Kompleks Seberang Takir.
b) Mewujudkan persekitaran pusat sumber yang menarik yang boleh menarik minat pengunjung untuk membaca melalui penganjuran aktiviti di Pusat Sumber SK Kompleks Seberang Takir.
c) Sebagai satu aktiviti khidmat masyarakat, susulan dari program Ilmu Mengubah Destini Perpustakaan UiTM pada 2016 yang lalu.
d) Mewujudkan kerjasama yang baik dengan sekolah dan komuniti melalui penganjuran program perkongsian ilmu.

Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT diwakili oleh En. Shahrol Nizam Johol, Timbalan Ketua Pustakawan, manakala Sek. Keb. Kompleks Seberang Takir diwakili oleh Puan Azlia Liza Alias, Guru Besar.

Sesi menandatangani Sijil Jaringan Kolaboratif Strategik ini merupakan persetujuan untuk pihak Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT mengadakan Program Literasi Maklumat bersama pelajar di Sek. Keb. Kompleks Seberang Takir pada 29 Julai 2024, Isnin akan datang. Wakil sekolah yang turut hadir bersama ialah Cikgu Azman (Penolong Kanan 1) dan Cikgu Najwa (Guru Pengurusan Media).

Diharap semua peserta akan mendapat semua manfaat dan panduan sebaiknya dalam membantu menguruskan koleksi pusat sumber sekolah seterusnya mampu menarik minat warga sekolah untuk mengunjungi pusat sumber kelak.

Disediakan oleh: Cik Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply