Program Khidmat Bantu di Perpustakaan Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan PPA Machang

Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang telah menjalankan program khidmat bantu di Perpustakaan Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan bertempat di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang. Ini merupakan kali kedua PTA bekerjasama dengan pihak PPA setelah kejayaan program sebelum ini yang juga melibatkan khidmat bantu kepakaran di Perpustakaan Penghuni PPAM.

Program khidmat bantu kali kedua ini pula bertempat di Perpustakaan Raudhatul Jannah Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan. Sekolah tahfiz ini merupakan hasil kerjasama di antara Pusat Pemulihan Akhlak Machang (PPA Machang) di bawah Jabatan Penjara Malaysia dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Sekolah tahfiz ini dibina di sebuah blok bangunan PPA Machang melalui peruntukan MAIK berjumlah RM122,234 dan mula beroperasi 13 November lepas melibatkan 30 penghuni serta telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra pada 16 Februari 2024 lalu.

Matlamat utama pewujudan kelas tahfiz dalam kalangan prospek adalah untuk mengembangkan pendidikan berteraskan pengajian tahfiz dengan menubuhkan kelas atau sekolah tahfiz di dalam institusi penjara. Penubuhan Kelas Tahfiz Al-Quran di dalam institusi penjara merupakan inisiatif berterusan Jabatan Penjara Malaysia ke arah pembinaan modal insan yang berteraskan Al-Quran dan Pendidikan Islam dan bagi mencapai misi PPA Machang ke arah Madinah@PPA.

Sehubungan itu, pihak PTA telah menjalankan program khidmat bantu ini melalui aktiviti ‘makeover’ perpustakaan sekolah tahfiz tersebut yang masih lagi kosong dari segi perabot, bahan bacaan, suasana yang kelam dan tidak tersusun. Objektif utama program ini adalah untuk menambahbaik suasana perpustakaan mengikut perkembangan terkini supaya penghuni dapat membaca dalam keadaan yang selesa dan memupuk amalan membaca di samping dapat menambah ilmu dalam diri ke arah insan yang lebih baik.

PTA memulakan gerak kerja mengubahsuai perpustakaan tersebut selama 3 hari bermula 9 hingga 11 Jun 2024 melibatkan 6 orang staf PTA, Puan Norfitriah Mat Seman (Pustakawan Kanan) dan turut disertai oleh Puan Alina Hussein (Timbalan Ketua Pustakawan). Aktiviti yang telah dijalankan bagi projek ‘makeover’ ini adalah menyusun atur, menghias, melabel bahan di rak, merekod bahan perpustakaan tersebut dan memberi tunjuk ajar kepada penyelia sekolah tahfiz dalam pengendalian perpustakaan dari segi cara susun atur, merekod & melabel bahan dan juga merekod statistik penggunaan bahan perpustakaan.

PTA juga telah menyumbang koleksi bahan bacaan ilmiah khususnya bahan keagaaman melalui program wakaf buku untuk disumbangkan kepada perpustakaan tersebut. Penyerahan wakaf buku ini telah dilakukan oleh Puan Alina Hussein, Timbalan Ketua Pustakawan dan diterima oleh wakil PPA iaitu Timbalan Penguasa Penjara, Mohd Sazeli Mohd Noor.

Perpustakaan tersebut juga telah dinamakan Maktabah Raudhatul Jannah yang bermaksud Perpustakaan Taman Syurga. Majlis perasmian perpustakaan ini telah diadakan pada 8 Julai 2024 yang telah dirasmikan oleh Pengarah PPAM iaitu PKK Mohd Nasir Yusof.

Program khidmat bantu ini telah berjalan dengan jayanya berkat komitmen dan kerjasama padu yang telah diberikan daripada kedua belah pihak. Semoga perpustakaan ini dapat membantu sekolah tahfiz tersebut ke arah pembudayaan ilmu dalam kalangan penghuninya dan membentuk modal insan yang berilmu dan berakhlak.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply