21 Mei 2024, Selasa- Selama 10 hari telah berlangsung Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024 di Dewan Sri Pinang, Padang Kota, Pulau Pinang bermula pada 13 hingga 22 Mei 2024. Acara berprestij ini mengangkat tema Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan. Seramai 5 orang staf PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang diketuai oleh Puan Farleen Azrina Zamberi, Pustakawan Kanan telah hadir ke festival ini.
Terdapat reruai pameran dan pelbagai aktiviti menarik telah disediakan bagi memberi impak yang tinggi kepada pengunjung. Secara keseluruhannya terdapat 38 penyertaan yang terdiri daripada 13 muzium persekutuan/negeri, 21 muzium institusi serta 4 muzium antarabangsa.
Sepanjang festival berlangsung, antara pengisian yang telah dijalankan adalah seminar, bengkel, pameran serta program-program komuniti untuk pengunjung-pengunjung yang hadir termasuk persembahan kebudayaan tradisional seperti wayang kulit, dikir barat, boria, ghazal parti, tarian ronggeng, tarian piring dan lain-lain lagi.
Lawatan ke festival ini memberi banyak maklumat mengenai warisan sejarah dan budaya negara yang tidak seharusnya dilupakan oleh masyarakat masa kini kerana ianya dapat membentuk perpaduan masyarakat di Malaysia.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan