10 Mei 2024 – Unit Arkib UiTM Cawangan Pulau Pinang bersama 5 orang pelajar Kelab Kebudayaan UiTM Cawangan Pulau Pinang telah memenuhi undangan Arkib Negara Malaysia Negeri Pulau Pinang ke Seminar Pemikiran P. Ramlee “Sepanjang Riwayatku” di Hotel Royale Chulan, Georgetown. Seminar ini dirasmikan oleh YB Wong Hon Wai, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang mewakili YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang.
Sesi pertama seminar dimulakan dengan tajuk “Imej Masyarakat MADANI Dalam Karya P. Ramlee” bersama 3 panel jemputan iaitu YBhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Felo Akademik Sains Malaysia, YBhg. Datu Dr. Hj. Adi Badiozaman Tuah, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak dan Dr. Selvarani A/P Kovil Pillai, Pensyarah USIM. Sesi ini telah dikendalikan oleh Encik Azrie Izham Hamzah, Pensyarah ASWARA selaku moderator.
Pada sebelah petang pula, seminar diteruskan bersama primadona-primadona filem Melayu iaitu YBhg. Dato’ Rosnani Jamil, Puan Ruminah Sidek, Puan Sophia Ibrahim, dan moderator Encik Mohammad Rohaizad bin Hj. Mohamad Rasid, editor IKIM Press berkongsi cerita mengenai “P. Ramlee Yang Ku Kenali.” Dalam sesi ini panel jemputan telah berkongsi dengan penonton pengalaman bekerja, detik perkenalan, karakter serta kenangan bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Meskipun selepas 51 tahun pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, legasi, ketokohan serta sumbangan beliau dalam bidang seni dan budaya sentiasa dekat dihati dan terus diingati.
Disediakan oleh : Rafidah binti Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan