Pada 17 April 2024, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh dengan kerjasama Unit Kerjaya dan Kaunseling UiTM Cawangan Pulau Pinang telah mengadakan program motivasi dan lawatan sambil belajar kepada 34 orang pelajar SMV Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang. Program ini bertujuan untuk memberi suntikan motivasi dan semangat yang berterusan dalam pembelajaran kepada para pelajar. Program yang berlangsung pada jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang ini melibatkan sesi ceramah, latihan dalam kumpulan, lawatan sekitar kampus dan perpustakaan serta kelas bimbingan.
Ketika sesi kendalian Unit Kerjaya dan Kaunseling, para pelajar turut diberi pendedahan mengenai pengalaman merancang hala tuju kerjaya di peringkat Universiti. Sesi pengenalan mengenai program-program pengajian di UiTM Cawangan Pulau Pinang juga telah disampaikan oleh Dr. Samsudin Wahab, Koordinator Misi Akademik sebelum mereka dibawa melawat sekitar kampus.
Pada sebelah petang, taklimat ringkas dan lawatan berpandu sekitar perpustakaan dikendalikan oleh Encik Mohd Shafarin Saad, Pembantu Pustakawan Unit Sirkulasi. Seterusnya para pelajar diberikan bimbingan mengenai kemahiran pencarian maklumat oleh Encik Nurulizwan Amir, Pustakawan Kanan Unit Perpustakaan Digital. Program diakhiri dengan penyerahan cenderahati oleh SMV Kolej Vokasional Nibong Tebal kepada PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan