Pameran Sejarah Penubuhan 39 Perpustakaan UiTM

Isnin, 
13 Syawal 1445H,
22 April 2024M:

Setelah 68 tahun, buat julung kalinya sejarah penubuhan 39 buah Perpustakaan UiTM dipamerkan di Galeri PTAR.

Lebih istimewa, Naib Canselor UiTM YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib merupakan individu pertama melawat pameran bersejarah ini secara rasmi. 

Lawatan oleh Datuk Naib Canselor UiTM ke-7 selama 30 minit yang berlangsung pada 22 April 2024 telah memberi satu kenangan manis buat seluruh warga Perpustakaan UiTM. 

Pameran Sejarah Penubuhan 39 Perpustakaan UiTM anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam menghimpunkan keunikan penubuhan 39 buah Perpustakaan UiTM. 

Sudah pasti, penubuhan Perpustakaan UiTM bermula daripada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu seperti Tun Abdul Razak dan Tun Arshad Ayub yang mahu mengangkat martabat bangsa melalui ilmu. 

Justeru, perpustakaan RIDA telah ditubuhkan seawal tahun 1956 seiring dengan pelaksanaan program-program terawal ketika itu. Oleh kerana itu, kebanyakan koleksi terawal perpustakaan UiTM adalah tentang Buku Simpan Kira, Perniagaan, Bahasa Inggeris, Perdagangan, Jurutaip dan Keusahawanan. 

Di awal penubuhannya, kebanyakan bangunan perpustakaan UiTM adalah dalam sebuah bangunan yang dikongsi bersama pusat Akademik dan pusat Pentadbiran. 

Malah pada tahun 1974 lokasi asal perpustakaan UiTM cawangan Perlis kampus Arau adalah berbeza iaitu di Kangar manakala perpustakaan ditempatkan di rumah-rumah kayu yang dikongsi bersama pejabat-pejabat dan bilik-bilik kuliah yang lain. Itulah antara keunikan perpustakaan di awal penubuhannya. 

Jika dibandingkan dengan situasi hari ini amat berbeza sekali apabila kesemua Perpustakaan UiTM mempunyai bangunan perpustakaannya sendiri. 

Turut dipamerkan adalah peralatan perpustakaan yang akan membuatkan para pelawat mengimbau kenangan dulu-dulu di perpustakaan sewaktu bergelar pelajar. 

Sebagai contoh Kabinet Fail Kayu yang dahulunya berfungsi menyimpan kad katalog, kad keahlian perpustakaan dan kad tajuk pengarang. 

Kenangan ketika menunggu giliran menggunakan kad katalog bersama pelajar berlainan pengajian, bahasa dan budaya sudah tentu mempunyai seribu satu cerita yang harus dikongsi bersama generasi kini. Bukan itu sahaja, cabaran sebagai pengurus maklumat perpustakaan sewaktu di era 60-an hingga 90-an pasti mempunyai kisah tersendiri. 

Itu baharu bahan buku. Belum lagi kisah mencari dan mengurus bahan bukan buku seperti mikrofiche, mikrofilm, kaset audio dan kaset video. 

Sudah pasti pengalaman sebegini harus diceritakan kembali, direkod dan dipaparkan buat tatapan ramai disebabkan nilai pengetahuannya kerana tidak ramai di luar sana berpeluang mempunyai pengalaman tersebut. 

Pameran Sejarah Penubuhan 39 Perpustakaan UiTM di Galeri PTAR sedang dibuka untuk tontonan warga UiTM dari jam 8:30 pagi hingga 4:30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang tahun 2024. 

PTAR Shah Alam

Leave a Reply