7 Mac 2024 (Khamis) – Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Bukit Besi telah berjaya mengadakan satu Pameran Book2U “Kolesterol” sempena Program “Healthy Day” anjuran Unit Kesihatan UiTMCT Kampus Bukit Besi dengan kerjasama Unit Perpustakaan. Kolaborasi kali ke-2 ini masih mengekalkan lokasi yang sama iaitu di Ruang Legar Unit Kesihatan dengan menampilkan tema berbeza pada tahun ini iaitu ‘Less Cholesterol” berbanding ‘Diabetes’ pada tahun lepas.
Pemilihan tema kali ini adalah sangat bertepatan kerana kolesterol adalah bahan berlemak yang sering dikaitkan sebagai penyebab utama penyakit dalam negara-negara maju dan negara-negara yang membangun. Kini, ianya menyebabkan 2.6 juta kematian di seluruh dunia. Berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey) 2015, kadar bilangan warga Malaysia yang menghidap dislipidemia merujuk kepada jumlah kolesterol tinggi (TC) melibatkan pesakit berumur 18 tahun dan ke atas adalah 47.7% (9.6 juta).
Mengikut tema yang dipilih, Perpustakaan mengambil peluang untuk mempamerkan koleksi buku-buku berkaitan ‘Kolesterol’ untuk tatapan dan bacaan kepada pengunjung sepanjang program ini berlangsung. Selain menyediakan pelbagai informasi berkaitan bahayanya kolesterol kepada manusia, perpustakaan juga turut menyajikan buku-buku masakan menu sihat kurang kolesterol sebagai sumber alternatif kepada mereka yang ingin mengatasi masalah kolesterol tinggi dalam badan. Sejajar dengan kempen Read@UiTM, program seumpama ini juga merupakan platform terbaik menarik minat pengunjung kepada galakan membaca. Bagi menarik ramai pengunjung yang terdiri daripada staf akademik, bukan akademik dan beberapa komuniti setempat, cabutan bertuah dan ‘doorgift’ disediakan kepada pengunjung bertuah.
Program Pameran Book2U ini juga sebenarnya adalah nilai tambah kepada program sebenar anjuran Unit Kesihatan iaitu Pertandingan Memasak dan pemeriksaan kesihatan percuma. Bagi memeriahkan suasana dan tanda sokongan terhadap penganjuran program kerjasama ini, Unit Perpustakaan tidak melepaskan peluang menghantar penyertaan dalam Pertandingan Memasak yang bertemakan menu sihat ‘Less Cholesterol”. Dengan memilih nama kumpulan PEARL, menampilkan En. Mohd Shahnizam Mat Zain dan Cik Norairin Natasya Zulkifli, kumpulan telah berjaya menyediakan dua menu iaitu ‘Chicken Grilled Pasta Carbonara’ dan ‘Banana Bread Pudding with Custard Sauce’. Bahan wajib yang disediakan penganjur adalah beberapa biji pisang dan susu rendah lemak. Pertandingan memasak yang bermula jam 9.30 pagi ini diadili oleh dua orang juri khas daripada KEMAS dan menampilkan enam (6) kumpulan yang terdiri daripada staf-staf bukan akademik pelbagai unit dan dua (2) kumpulan daripada komuniti luar. Tepat jam 12.00 tengahari, keputusan diumumkan dan Unit Perpustakaan berjaya meraih tempat ketiga. Hadiah-hadiah dan cabutan bertuah telah disampaikan dan disempurnakan oleh Yang Berusaha Penolong Rektor, UiTMCT Kampus Bukit Besi, Dr. Baktiar Musa.
Penulis: Tuan Mohd Rashidi Tuan Daud @ T Harun, Pembantu Pustakawan