Lawatan Penanda Arasan ke PTAR UiTM Pulau Pinang

Perpustakaan Cendekiawan, UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT), telah mengadakan Lawatan Penanda Arasan ke Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Pulau Pinang, pada 15 November 2023, Rabu yang lalu. Lawatan kerja ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti kerja kakitangan melalui perkongsian pengetahuan, di samping dapat memberi pendedahan berkenaan dengan kepelbagaian perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kepada pengguna di perpustakaan UiTM cawangan lain.

Lawatan ini telah diketuai oleh En. Md. Kamil Ibrahim, Pustakawan Kanan, telah dianggotai oleh 21 orang staf perpustakaan UiTMCT dari ketiga-tiga kampus iaitu Dungun, Kuala Terengganu dan Bukit Besi. Tiba di kampus UiTM Pulau Pinang pada jam 10.00 pagi, kami disambut mesra oleh kakitangan PTAR. Delegasi lawatan kami telah diberi penerangan berkenaan perpustakaan oleh Cik Nor Azilawati, Pustakawan Kanan, dan dibawa melawat ke ruang kerja dan ruang bacaan perpustakaan bagi melihat suasana kerja di perpustakaan tersebut, diiringi oleh En. Nurul Izwan Amir, Pustakawan Kanan, dan beberapa orang staf perpustakan yang lain. Amalan terbaik dan perkongsian operasi kerja yang dipraktikkan di perpustakaan yang dilawati ini diharap dapat memberikan idea penambahbaikan serta memantapkan lagi perkhidmatan dan kemudahan yang sedia ada di Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT.

Sesi lawatan berakhir pada pukul 12.30 tengahari dengan sesi penyampaian cenderahati dan bergambar kenangan bersama. Pihak Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT mengalu-alukan lawatan balas ke perpustakaan kami pada masa akan datang. Semoga lawatan ini dapat mengeratkan jalinan dan jaringan antara Perpustakaan UiTM agar dapat sama-sama memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada universiti yang kita cintai ini. #UiTMDihatiku

Disediakan oleh: Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply