Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun telah mengadakan Bengkel Asas Penyediaan Tugasan Akademik dengan mensasarkan para pelajar baharu Sesi Oktober 2023 – Februari 2024, pada 8 Oktober 2023, Jumaat yang lalu.
Program yang dijalankan secara atas talian melalui platform WEBEX Meeting ini telah bermula pada 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari, dan telah disampaikan oleh Cik Asmahani binti Abdullah, Pustakawan Kanan, Unit Perkhidmatan Perpustakaan. Cik Rabiatul Ainnuha Ridzuan, Pelajar Latihan Industri Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT pula bertindak sebagai moderator program.
Fokus utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi panduan dan pengetahuan serta teknik asas penyediaan tugasan akademik. Turut disampaikan kaedah pencarian maklumat yang berkesan dan mudah kepada peserta, terutamanya pelajar baharu bagi memulakan pengajian di universiti.
Di antara pengisian pada program ini adalah seperti:
- Pendedahan tentang kemudahan serta cara-cara penggunaan perisian aplikasi Microsoft Words,Microsoft Exel,Microsoft Power Point dan Canva.
- Strategi pencarian maklumat dengan menggunakan Perpustakaan Digital UiTM seperti OPAC, serta MyKM dan PDAT. Turut dibentangkan kaedah carian maklumat di Google Scholar.
- Tips tentang pembuatan sitasi dan rujukan (Citation dan References).
Bengkel selama dua jam ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dengan penyertaan seramai 260 orang yang terdiri dari pelajar-pelajar baru UiTM Cawangan Terengganu. e-Sijil penyertaan dan e-Merit turut diberikan kepada setiap peserta bengkel yang hadir.
Semoga perkongsian melalui penganjuran bengkel ini dapat memberi manfaat serta memudahkan urusan para pelajar dalam menyelesaikan tugasan akademik sepanjang pengajian mereka di UiTM Cawangan Terengganu.
Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan