SPEED READING BERSAMA UNIT PENTADBIRAN

Kota Bharu, 23 Mei 2023 – Pustakawan Kanan UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu, Rosmariyati Bt Ab Rahman telah berkongsi kemahiran Speed Reading atau bacaan pantas bersama-sama staf Unit Pentadbiran, yang mengikuti Modul Pakej c di Bilik Mesyuarat Pentadbiran. Beliau turut dibantu oleh Pembantu Pustakawan yang bertindak sebagai fasilitator program Speed Reading.

Kemahiran Speed Reading merupakan teknik bacaan dengan kelajuan yang cepat. Kemahiran ini memerlukan kombinasi keupayaan visual dan keupayaan kognitif individu sewaktu membaca. Sewaktu pembacaan dilakukan, individu akan bertindak balas terhadap dua proses iaitu kepantasan membaca dan memahami isi bacaan. Bacaan pantas berfungsi memantau secara sepintas lalu bahan bacaan yang ada dihadapannya dan dalam masa yang sama memilik kemampuan memahami apa yang berlaku.

Di samping memenuhi sasaran kerja tahunan yang ditetapkan, penganjuran program Speed Reading oleh PTA Kampus Kota Bharu ini adalah bertujuan memberi pendedahan dan peluang kepada para peserta untuk mengetahui dan mempelajari teknik bacaan pantas bagi meningkatkan keyakinan diri ketika membaca serta menggalakkan aktiviti pembacaan kepada warga UiTM. Membaca dengan kelajuan yang cepat membolehkan seseorang menambahkan pengetahuan secara berganda meskipun masa bacaan yang diambil adalah sama seperti biasa.

Perkongsian dan penerangan mengenai asas tip-tip bacaan pantas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta yang hadir. Disusuli dengan pelbagai jenis aktiviti yang menguji tahap pembacaan pantas, maklumbalas yang diberikan oleh peserta sangat baik.

Melalui program ini diharapkan staf Pentadbiran dapat membantu dan menyokong dalam meningkatkan kualiti pembelajaran akademik di UiTM Cawangan Kelantan dan menjadikannya sebagai salah satu program bagi membantu warga kampus membaca. Program ini juga diharapkan dapat diteruskan kepada seluruh warga kampus terutama kepada pensyarah dan pelajar di UiTM Cawangan Kelantan untuk membina kompetensi pembacaan dan meningkatkan kuantiti dan kualiti pembacaan serta tahap intelektual mereka.

Disediakan oleh: Rosmariyati Ab Rahman, Pustakawan Kanan PTA UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu

Leave a Reply