Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun telah menganjurkan satu Program Siaran Langsung bertajuk Teknik ‘Speed Reading’: Apa dan Bagaimana pada 3 April 2023, Isnin yang lalu. Program ini menampilkan Cik Nor Azrina Kasim sebagai Instruktor Speed Reading yang juga merupakan Pustakawan UiTM Cawangan Perlis, dan Cik Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan UiTM Cawangan Terengganu bertindak selaku moderator/fasilitator program. Berlangsung melalui platform Cisco Webex Meeting bermula 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari, program ini telah disertai oleh 130 orang warga UiTM Cawangan Terengganu yang terdiri daripada staf dan pelajar.
Di samping memenuhi sasaran kerja tahunan yang ditetapkan, penganjuran program Speed Reading oleh Perpustakaan Cendekiawan ini adalah bertujuan memberi pendedahan dan peluang kepada para peserta untuk mengetahui dan mempelajari teknik bacaan pantas bagi meningkatkan keyakinan diri ketika membaca serta menggalakkan aktiviti pembacaan kepada warga UiTM. Membaca dengan kelajuan yang cepat membolehkan seseorang menambahkan pengetahuan secara berganda meskipun masa bacaan yang diambil adalah sama seperti biasa.
Perkongsian dan penerangan mengenai asas tip-tip bacaan pantas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta yang hadir. Disusuli dengan pelbagai jenis aktiviti yang menguji tahap pembacaan pantas, maklumbalas yang diberikan oleh peserta sangat baik.
Untuk makluman, susulan daripada program ini, Perpustakaan Cendekiawan akan menganjurkan Bengkel Speed Reading pada Mei 2023 akan datang secara bersemuka dengan modul yang lebih pelbagai.
Semoga program ini dapat memberi manfaat dan faedah kepada semua dalam usaha menambah pengetahuan dan penguasaan teknik Speed Reading dalam kalangan warga UiTM Cawangan Terengganu khususnya.
Jam latihan penyertaan dan e-sijil turut diberikan kepada semua peserta program yang hadir.
Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan