Pada 30 November 2022, Rabu yang lalu, Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) telah menerima kunjungan delegasi Lawatan Kerja Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terdiri daripada YBrs. Encik Jamalludin Haji Sulaiman, Ketua Pustakawan UiTM, yang hadir bersama pegawai pengiring iaitu Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli, Timbalan Ketua Pustakawan. Tiba di perkarangan lobi Bangunan Integriti UiTMCT, delegasi lawatan telah disambut oleh Yang Berbahagia Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh, Rektor UiTMCT, dan semua staf Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun.
Selesai sesi temu mesra bersama Yang Berbahagia Rektor, delegasi lawatan tersebut dibawa ke Bilik Mesyuarat Perpustakaan untuk sesi seterusnya iaitu sesi pembentangan ringkas oleh En. Shahrol Nizam Johol, Timbalan Ketua Pustakawan UiTMCT, dan sesi ramah mesra bersama staf perpustakaan. Dalam amanat yang disampaikan, YBrs. Ketua Pustakawan UiTM turut menyampaikan kata-kata harapan dan semangat sebagai motivasi kepada semua staf perpustakaan dalam meningkatkan kemahiran individu untuk lebih berdaya saing seterusnya menambahkan kecemerlangan organisasi perpustakaan. Beliau juga menggalakkan agar pihak perpustakaan UiTMCT dapat mengadakan hubungan baik bersama jabatan dalaman mahupun luar kampus melalui pelaksanaan program jalinan dan jaringan sebagai usaha menyampaikan inisiatif perkhidmatan perpustakaan. Dalam sesi ini juga staf perpustakaan diberi peluang untuk bertanyakan soalan, memberikan pandangan dan cadangan kepada pengurusan perpustakaan secara terbuka.
Delegasi lawatan kerja Ketua Pustakawan UiTM tersebut kemudiannya dibawa melawat sekitar bangunan perpustakaan Cendekiawan dan juga ke bangunan annex Perpustakaan Cendekiawan yang masih dalam pembinaan. Lawatan kerja di Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Dungun berakhir pukul 11.30 pagi, dan aturcara lawatan ini diteruskan dengan mengunjungi Perpustakaan Cendekiawan Kampus Bukit Besi pada sebelah petang. YBrs. Encik Jamalludin Haji Sulaiman, dan Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli, dijadualkan akan mengunjungi Perpustakaan Cendekiawan Kampus Kuala Terengganu pada keesokan harinya, iaitu pada 1 Disember 2022, Khamis.
Secara keseluruhannya, sesi lawatan ini telah berjaya mencapai objektif yang digarapkan iaitu menyemak fasiliti dan perkhidmatan perpustakaan, menyelaras inisiatif Perpustakaan UiTM ke arah Global Renowned Universitiy (GRU), di samping temu mesra pengurusan Perpustakaan UiTM bersama staf perpustakaan cawangan. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih diucapkan kepada Ketua Pustakawan UiTM dan pengiring kerana sudi berkunjung ke Perpustakaan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun.
Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan