Bicara Buku@PTAR “Tersinggung Dalam Perjuangan”

Shah Alam, 14 November 2022-Bicara Buku@PTAR telah menampilkan tetamu yang amat istimewa iaitu YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah bin Abu Shah yang mengupas buku tulisan beliau berjudul “Tersinggung Dalam Perjuangan: Sebuah Perjalanan Autobiografi”.

Selama dua jam, sejumlah 683 orang telah menonton secara langsung di saluran YouTube Perpustakaan UiTM dan Facebook Perpustakaan UiTM, pengkisahan pengalaman hidup YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah. 

Kisah pengalaman yang diceritakan kembali oleh beliau sendiri amat bernilai untuk diketengahkan di dalam masyarakat umum agar dapat dijadikan panduan dan rujukan anak bangsa di masa hadapan. Kisah ini cukup dekat dengan jatidiri, institusi dan survival bangsa Melayu dan Bumiputera yang berlaku di Malaysia sejak tahun 1970 hingga tahun 2009. 

Pengalaman YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah selama empat dekad bersama UiTM ini telah disentuh dengan amat berkesan oleh moderator program, Dr. Noor Nirwandy bin Mat Noordin. Beliau amat bijak merencana masa bual bicara agar dapat menyentuh hampir keseluruhan bab di dalam buku autobiografi ini. 

Diterbitkan pada tahun 2022, buku “Tersinggung Dalam Perjuangan” mengandungi 15 bab dan 653 muka surat, sarat dengan kisah pengalaman dan perjuangan YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah menongkah arus demi bangsa dan institusi Melayu ini. Buku autobiografi ini lengkap dengan gambar dan keratan akhbar bewarna lantas menjadikan nukilan ini sesuatu yang ‘wajib’ dibaca khususnya warga UiTM. 

Bagi yang terlepas siaran langsung bual bicara buku ini, siaran ulangan boleh ditonton di pautan Youtube Perpustakaan UiTM Tersinggung Dalam Perjuangan manakala pesanan naskhah buku boleh di lakukan di portal Tersinggung Dalam Perjuangan. Naskhah buku ini turut tersedia di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Shah Alam. 

Bermula dengan pengalaman sebagai pelajar di Kampus Jalan Othman sekitar tahun 1971 dan seterusnya sebagai kumpulan pelajar pertama yang berpindah di Seksyen 1, Shah Alam, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah telah bergiat aktif dalam siri kepimpinan pelajar. Pada masa itu, perjuangan pelajar antaranya berkisar tentang pengiktirafan kerajaan terhadap program Diploma di Institut Teknologi MARA (ITM). Perjuangan ini telah membuahkan hasil apabila beliau menjadi kumpulan pertama pelajar peringkat Diploma yang diiktiraf oleh kerajaan. 

Pengalaman ini juga telah digunakan dengan sebaiknya sehingga menghasilkan beberapa polisi berkaitan kebajikan penuntut Universiti Teknologi MARA.

Mengulas tentang maksud judul “Tersinggung Dalam Perjuangan”, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah mengibaratkannya seperti pepatah Melayu “Pukul anak sindir menantu”. Bagi beliau, penulisan buku ini seharusnya dilihat melalui konteks yang luas iaitu konteks sebuah negara. 

Mesej yang hendak disampaikan menerusi judul buku ini ialah tentang tiga ciri ini: Kepimpinan, perpaduan dan integriti. 

Pengalaman hampir dibuang sekolah sewaktu di tingkatan lima, peristiwa 13 Mei 1969 dan ancaman rasuah ialah antara pengalaman beliau yang diceritakan kembali sebagai gambaran jelas maksud judul buku ini dalam konteks sebuah negara. Bagi beliau, kehebatan individu mahupun bangsa memerlukan tiga ciri ini. 

YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah turut mengaitkan judul buku ini dengan kejayaan yang dicapai oleh UiTM. Antara kejayaan UiTM yang disebut ialah penganugerahan status universiti pada tahun 1999 dan kejayaan meraih Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) pada tahun 2008. AKPM ialah anugerah di peringkat kebangsaan di mana sejumlah seratus jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun dalam sektor awam bersaing merebut pengiktirafan tersebut. 

UiTM telah menjadi satu-satunya universiti awam yang memenangi pengiktirafan AKPM. Dengan kejayaan ini, UiTM telah tergolong dalam kumpulan enam teratas universiti terkemuka negara. 

Menurut YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah, kejayaan ini ialah bukti bahawa golongan Melayu dan Bumiputera mampu meraih kejayaan sekiranya bersatu padu dan mengenepikan perselisihan bersifat peribadi. 

Natijah sekiranya orang Melayu tidak bersatu padu dan tiada budaya integriti yang tinggi ialah orang Melayu bukan sahaja menjadi bodoh malah akan diperbodohkan. 

Menyentuh mengenai pembentukan jatidiri sebagai seorang Melayu, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah telah menyorot kembali peristiwa sewaktu beliau berusia tiga tahun apabila kegiatan komunis berleluasa dan mengancam keselamatan penduduk khususnya anggota keselamatan negara. Peristiwa hampir dibuang sekolah turut membina peribadi beliau sebagai pemimpin pelajar. 

Dua peristiwa itu telah sedikit sebanyak membina semangat berani dan jati diri beliau sebagai seorang Melayu dan pemimpin pelajar apabila hanya menyatakan kebenaran serta ikhlas dalam memperjuangkan hak anak bangsa.  

Menyorot kembali suasana pembelajaran di ITM, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah menyatakan bahawa beliau memasuki ITM menerusi program Diploma Pentadbiran Awam (DPA). Pada ketika itu, kebanyakan pelajar yang diterima masuk ke ITM ialah dengan kelayakan yang minima iaitu tiga kredit Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan lulus sesi temubual. 

Menurut beliau, walaupun penubuhan ITM ialah untuk membantu golongan Melayu dan Bumiputera menerusi syarat kelayakan yang minima, namun beliau bertegas agar syarat kelayakan ini disemak kembali berdasarkan kepada suasana pelajar hari ini yang ramai memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. 

Beliau yakin bahawa martabat UiTM di kalangan masyarakat akan dipandang tinggi sekiranya syarat kelayakan kemasukan ke UiTM disetarakan sebagaimana universiti awam yang lain. 

Sebaik menamatkan pengajian di ITM, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah telah berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif di Bahagian Cukai Perjudian Perbendaharaan Malaysia. YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah yang berusia sekitar 21 tahun pada masa itu, terlibat melakukan operasi pemantauan cukai perjudian. Pengalaman ditawar khidmat seks dan ugutan samseng di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur telah dialami beliau gara-gara prinsipnya yang menolak perlakuan rasuah. Beliau turut memperingatkan bahawa amalan rasuah boleh datang dalam pelbagai cara dan meminta agar sentiasa berwaspada mengenai tawaran seperti ini. 

Apabila membicarakan mengenai bangsa Melayu, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah mengingatkan bahawa setiap individu cintakan bangsanya. Bangsa Melayu telah maju sejak sekian lama dan ini terbukti apabila pedagang-pedang luar masuk berdagang di Melaka suatu masa dahulu. Malah menurut beliau, UiTM telah mempunyai program advance Diploma sejak tahun 1974. Tambah beliau, bangsa Melayu perlu bangkit mempertahankan bangsa dan bersikap adil terhadap semua bangsa. 

Mengimbas kembali pengalaman di Universiti OHIO yang dianggap beliau sebagai unik apabila pelbagai komuniti antarabangsa bercampur dan saling membantu tanpa mengira bangsa dalam suasana sebuah institusi pendidikan antarabangsa. 

Menceritakan kembali detik getir sewaktu diminta pulang ke tanah air bagi menangani demonstrasi pelajar ITM di Shah Alam pada tahun 1976 dan pada tahun 1978, di ITM cawangan Sabah, kedua-dua demonstrasi ini menyaksikan YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah bertindak sebagai orang tengah antara pihak pelajar dan pengurusan ITM ketika itu. Beliau berpendapat, golongan pelajar ialah golongan yang baik, suara pelajar harus didengari, dihormati dan pentingnya menggunakan pendekatan psikologi bagi meredakan bahang demonstrasi ketika itu. 

Selepas demonstrasi pelajar pada tahun 1976,  ITM telah memulakan dua perkara yang tidak dilakukan oleh mana-mana universiti awam ketika itu iaitu menubuhkan kokurikulum KESATRIA dan mewajibkan pelajar mengambil matapelajaran agama Islam iaitu TITAS. YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah pula telah dilantik sebagai Komandan Kesatria ITM yang pertama. Tujuan pelaksanaan dua perkara ini adalah untuk membina disiplin pelajar melalui latihan ketenteraan dan pengisian kerohanian.  

Berkongsi satu kisah yang mencuit hati dan masih dikenang hingga kini berlaku sewaktu YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah menguruskan bantuan makanan sahur buat penduduk Kg. Abdullah Hukum yang baru mengalami kebakaran besar pada jam 3 pagi sekitar tahun 1977 dan 1978. Seorang anggota polis berpangkat Sarjan telah menasihati beliau agar mengutamakan keselamatan diri serta mengibaratkan perlakuan beliau seperti “lilin yang membakar diri”. Ianya gara-gara beliau memandu di laluan yang tidak sepatutnya dilalui, semata-mata untuk memastikan bantuan makanan sahur buat penduduk Kg. Abdullah Hukum dapat dihantar dengan segera.

Pengalaman sewaktu bertugas di Sarawak bermula tahun 1989 turut menyimpan memori yang akan dikenang sepanjang hayatnya.  YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah cukup berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang pendidikan buat penduduk di Sabah dan Sarawak. 

Sewaktu berkhidmat sebagai Rektor di ITM cawangan Sarawak, berlaku insiden runtuhan beberapa tapak konkrit yang beratnya ratusan tan. Rentetan insiden ini, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah memanggil YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah dan bermurah hati menganugerahkan tanah melebihi seribu ekar secara percuma untuk dijadikan kampus baharu dan lebih sempurna di Kota Samarahan. Malah, kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju membiayai kos pembinaan kampus baharu ini semata-mata untuk membawa peluang yang lebih luas kepada anak bangsa di Sarawak. 

Pengorbanan dan jasa baik Kerajaan Negeri Sarawak yang mengutamakan pendidikan anak bangsa terbalas dengan ramainya anak-anak tempatan menerajui sektor utama di negeri Sarawak sehingga memacu ekonomi Sarawak  sebagai sebuah negeri yang maju.  

Suasana muhibah sewaktu musim perayaan apabila pelbagai kaum di Sarawak berkumpul bersama-sama meraikannya turut dikagumi YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah.

Mengulas lebih lanjut buku “Tersinggung Dalam Perjuangan”, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah masih mengingati pengalaman beliau turun padang meninjau kemudahan infrastruktur pelajar sekitar tahun 2001 di beberapa kolej kediaman pelajar dan bilik-bilik kuliah. Tersinggung dengan suasana kemudahan yang kurang kondusif serta persepsi negatif masyarakat ketika itu, satu laporan telah diangkat di peringkat kerajaan dan akhirnya UiTM telah menerima bantuan tanah seluas seribu ekar bagi pembinaan kampus baharu di Puncak Alam. 

YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah turut menerangkan dengan ringkas dan jelas tentang bermulanya idea penubuhan Fakulti Perubatan sekitar tahun 2001. Beliau menyifatkannya sebagai perjuangan yang bukan mudah namun tidak mustahil untuk dilakukan. Tindakan beliau itu terdorong daripada hasil kajian penyelidik pada masa itu yang mendapati kurangnya doktor di kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera. 

Justeru, beliau bertekad untuk meningkatkan bilangan profesional perubatan di kalangan Melayu dan Bumiputera, dan seharusnya UiTM menggalas tanggungjawab ini demi kelangsungan bangsa. 

Cabaran yang dilalui amat getir kerana pada masa yang sama turut diuji dengan tahap kesihatan anak yang rendah akibat komplikasi demam denggi. Dengan keazaman yang amat tinggi dan ikhtiar yang bukan sedikit, Fakulti Perubatan telah secara rasminya dibuka pada November 2002 manakala empat tahun berikutnya, Fakulti Farmasi dirasmikan pada tahun 2006. 

Lebih membanggakan beliau apabila Hospital UiTM telah siap dibina di Kampus Puncak Alam pada tahun 2021,  sebagaimana kelulusan awal diberi terhadap pembinaan Kampus Shah Alam 2 (Puncak Alam) iaitu bersekali dengan pembinaan Hospital Puncak Alam. 

Banyak lagi peristiwa-peristiwa penting yang amat menarik dikongsikan oleh beliau seperti yang tercatat di dalam bab 10 iaitu Penubuhan Fakulti Perubatan Perjuangan Melalui “Darah, Keringat dan Air Mata”. 

Sebelum Bicara Buku@PTAR berakhir, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah berkongsi sejarah yang menarik mengenai kewujudan arca seekor seladang dan seekor kerbau yang kini di tempatkan di Galeri UiTM (kini Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah-Gesturz). Peristiwa di ‘ragging’ oleh pelajar senior dengan mengelilingi arca seladang atau kerbau masih utuh dalam memori beliau. 

YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah mendedahkan peristiwa disebalik ‘ragging’ itu, pelajar senior tersebut telah berpesan agar tidak melupakan asal-usul sebagai seorang Melayu, tidak meninggi diri setelah berjaya kelak dan membantu keluarga, bangsa dan negara. 

Pesanan ini telah beliau jadikan azimat dan pedoman hingga ke hari ini. 

Buku “Tersinggung Dalam Perjuangan”. 
Dari kanan: Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli, Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah bin Abu Shah, Dr. Noor Nirwandy bin Mat Noordin dan Encik Mohd Khairul Idzwan bin Mohd Saad.  
Ketua Pustakawan UiTM Encik Jamalludin Hj. Sulaiman (dua dari kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah (kiri)
Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply