Bersempena Minggu EDU 5.0, Taklimat Perpustakaan UiTM Cawangan Melaka yang bertajuk “Information Literacy Class” telah dijalankan secara atas talian. Sesi Taklimat ini diadakan pada 25 Mac 2022 pada jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengahari. Seramai 366 pelajar telah menghadiri taklimat ini. Program yang dikendalikan oleh Puan Siti Haidah Md Aziz, Pustakawan Kanan dan dibantu oleh Puan Siti Adawiyah Salim dari Unit Rujukan, Sokongan Penyelidikan & Literasi Maklumat Perpustakaan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa baru tentang cara untuk mendapatkan maklumat serta bahan rujukan daripada laman sesawang rasmi Perpustakaan UiTM Cawangan Melaka, strategi pencarian yang tepat, pemilihan maklumat daripada sumber yang sahih serta cara penyimpanan maklumat yang lebih sistematik dan menjimatkan masa para pelajar.
Antara intipati taklimat tersebut adalah pengenalan mengenai cara pencarian maklumat menggunakan perkhidmatan My Knowledge Management (MyKM) iaitu merupakan salah satu perkhidmatan atas talian yang disediakan oleh pihak perpustakaan dan koleksi digital. Mahasiswa juga telah didedahkan dan diberikan simulasi mengenai cara untuk mencari maklumat atau bahan rujukan dengan menggunakan perkhidmatan atas talian yang terdapat dalam MyKM. Turut didedahkan juga Perkhidmatan Kelas Kemahiran Maklumat (KKM) iaitu sesi pembelajaran yang membantu para pelajar berfokuskan kepada teknik pencarian bahan dan mengenalpasti kaedah pencarian yang bersesuaian dengan menggunakan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak perpustakaan. Perkhidmatan ini adalah percuma ini dan diharapkan dapat membantu mahasiswa UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya untuk lebih bersedia sebelum sesi pembelajaran bermula.
Penulis : Siti Haidah Md Aziz, Pustakawan Kanan UiTM Kampus Bandaraya