Musibah banjir yang melanda Shah Alam pada penghujung tahun 2021 telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dan berpanjangan. Bantuan dan sokongan dikalangan masyarakat amat diperlukan agar individu yang terkesan dengan musibah ini mampu bangkit semula demi kelangsungan hidup.
Prihatin dengan nasib yang menimpa, PTAR telah menghulur sumbangan wang tunai kepada 38 orang staf PTAR yang terkesan akibat banjir. Bantuan wang tunai ini telah diserahkan oleh Encik Jamalludin bin Sulaiman selaku Ketua Timbalan Pustakawan sewaktu Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat anjuran Jawatankuasa Tazkirah PTAR bertarikh 07 Januari 2022, Jumaat, jam 09:00 pagi. Majlis yang diketuai oleh Encik Asraf Zamani bin Hazim manakala bacaan Yasin dipimpin oleh Encik Mohd Suhaimi bin Azman, staf PTAR, telah berlangsung dengan jayanya selama dua jam dan dihadiri seramai 70 orang staf PTAR.
Di dalam majlis ini, Encik Jamalludin telah menzahirkan rasa simpati warga PTAR ke atas mangsa banjir yang telah mengalami kerosakan harta benda. Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan rasa bangga diatas penubuhan pasukan sukarelawan PTAR dan turut mengingatkan kepentingan pasukan ini yang mampu bertindak segera di waktu kecemasan. Beliau meminta agar pasukan sukarelawan bersedia dengan peralatan yang perlu kerana musibah seperti ini mungkin berulang kembali. Sewaktu musibah banjir melanda Shah Alam pada 18 Disember 2021, pasukan sukarelawan PTAR yang berjumlah 36 orang dan diketuai oleh Puan Hani Liza Norfin telah berganding bahu membersihkan rumah staf yang terjejas dek banjir serta menghulurkan bantuan segera berupa barangan makanan.
Hikmah disebalik musibah ini telah membuktikan betapa teguhnya ikatan silaturahim dikalangan staf PTAR. Benarlah kata pepatah yang menyebut “Tahun baharu, semangat baharu”. Diharapkan agar sumbangan yang dihulurkan ini membawa keceriaan dan membangkitkan semangat baharu warga PTAR untuk terus berkhidmat. Semoga PTAR terus cemerlang.