Pada 22 Januari 2025, Bengkel Refreshment Course bertajuk "Classification" telah berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Bengkel ini dikendalikan oleh Encik Danial Daud sebagai fasilitator dan disampaikan oleh Encik Idris Muhammad selaku penceramah utama. Kedua-dua mereka merupakan staf Perpustakaan Tun Dr. Ismail yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan maklumat dan klasifikasi perpustakaan.
Bengkel ini memfokuskan kepada dua perkara utama berdasarkan Library of Congress Subject Heading (LCSH) dan Library of Congress Classification (LCC), iaitu penetapan subjek atau perkara dan penetapan klasifikasi nombor. Penceramah menerangkan kepentingan kaedah penetapan subjek atau perkara dalam pengurusan perpustakaan, terutamanya bagi memastikan bahan bacaan dapat dikatalogkan dengan tepat. Proses ini melibatkan pemilihan istilah yang sesuai mengikut piawaian LCSH untuk menggambarkan kandungan bahan secara menyeluruh dan konsisten. Dalam aspek penetapan klasifikasi nombor pula, penceramah menjelaskan bagaimana klasifikasi nombor ditetapkan menggunakan LCC. Penetapan klasifikasi yang tepat penting bagi memastikan bahan dapat diatur secara sistematik di rak perpustakaan, sekaligus memudahkan pengguna mencari dan mengakses bahan tersebut.
Pengajaran yang disampaikan oleh Encik Idris Muhammad dalam bengkel ini amat penting bagi memastikan pengurusan koleksi perpustakaan mematuhi standard antarabangsa. Ini dapat meningkatkan kecekapan operasi perpustakaan dan kepuasan pengguna. Selain itu, pengetahuan ini juga membantu staf perpustakaan untuk lebih yakin dalam membuat keputusan berkaitan katalogisasi bahan. Bengkel ini telah mendapat sambutan positif daripada peserta yang hadir. Semoga ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengurusan bahan perpustakaan di masa hadapan.
Pautan hebahan media sosial : Hebahan Media Sosial