Library News

Karnival Jawi UiTM 2.0

SHAH ALAM, 3-4 Oktober 2024Karnival Jawi UiTM 2.0, bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berlangsung dengan meriah, menampilkan pelbagai aktiviti selama dua hari untuk menyemarakkan tulisan Jawi di peringkat universiti. Program ini menarik penyertaan seramai 1,400 peserta terdiri daripada staf dan pelajar UiTM.

Dimulakan dengan Forum Jawi pada pagi Khamis, para peserta disajikan dengan topik “Pembudayaan Tulisan Jawi dalam Institusi”, yang dibawakan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz dan Puan Noor Anita Sihab. Forum ini memaparkan perbincangan mendalam mengenai pendekatan memupuk tulisan Jawi dalam aktiviti harian, seperti penggunaan Jawi pada papan tanda dan media sosial.

Dalam menggalakkan kreativiti dan kehalusan seni tulisan, Pertandingan Seni Khat Jawi turut diadakan di Bilik Bacaan, menawarkan hadiah tunai sehingga RM1,500.00. Pertandingan ini bertujuan menyuburkan minat dan kemahiran dalam transliterasi Rumi-Jawi serta seni Khat.

Pada hari kedua, program Bicara Kepimpinan menyaksikan kehadiran tetamu kehormat, Naib Canselor UiTM Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib dan Mufti Negeri Selangor Yang Amat Dihormati Dato' Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Opir. Profesor Datuk Dr. Shahrin menyampaikan perkongsian tentang "Peranan Institusi Pendidikan Tinggi Terhadap Kelestarian Tulisan Jawi", manakala Dr. Haji Anhar membincangkan "Pembudayaan Tulisan Jawi Dalam Perkembangan Ilmu dan Budaya Di Malaysia".

Sebagai acara kemuncak, PENJAWIS turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UiTM, memperkukuhkan kerjasama dalam mempromosikan tulisan Jawi. Dokumen MoU diserahkan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Adi Yasran kepada YBrs. Profesor Teknologis Dr. Janudin Sardi, disaksikan oleh Naib Canselor UiTM.

Pada sesi petang, program Bedah Kitab Faridatul Faraid yang disampaikan oleh Muhammad Nur Aiman Mohd Zuki, pelajar Universiti al-Azhar, Mesir, turut menarik perhatian hadirin dengan perbincangan tentang asas ilmu dalam konteks penulisan Jawi.

Dianjurkan bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak, Bahagian Hal Ehwal Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) dan Taman Pustaka, Karnival Jawi UiTM 2.0 menjadi platform dinamik bagi menghidupkan warisan tulisan Jawi dalam komuniti UiTM. Untuk maklumat lanjut, layari Facebook Masjid Universiti Teknologi MARA Shah Alam.

{gallery}2024/jawi{/gallery}

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.