Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus memperluas jaringan kolaborasi ilmu di peringkat antarabangsa melalui inisiatif sumbangan bahan bacaan dan usaha pendigitalan manuskrip Melayu di Thailand.
Pada 30 Mei 2025, PTAR telah menyerahkan sumbangan lima (5) naskhah buku bernilai RM500.00 kepada Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah, Narathiwat, Thailand sebagai sokongan kepada pembangunan koleksi rujukan madrasah tersebut. Sumbangan ini bertujuan membantu memperkukuh bahan bacaan ilmiah dan pengajian Islam bagi kegunaan pelajar dan guru madrasah berkenaan.
Selain itu, PTAR turut menjalin kerjasama strategik bersama Muzium Al-Quran Melayu Raya, Narathiwat, dalam bidang pembangunan dan pendigitalan koleksi manuskrip Melayu. Kolaborasi ini memberi fokus kepada pemeliharaan, pemindahan ilmu serta pempameran digital naskhah klasik melalui platform Repositori Persuratan Jawi UiTM yang boleh diakses di https://mykm.uitm.edu.my/jawi
Repositori tersebut kini menjadi hab digital bagi koleksi manuskrip dan kitab Jawi yang mendapat sambutan luas daripada penyelidik, pelajar dan masyarakat antarabangsa — dengan sebanyak 28,148 paparan (pageview) direkodkan sepanjang tahun 2024.
Melalui inisiatif ini, PTAR menzahirkan peranan sebagai pemangkin jaringan ilmu Nusantara dalam memelihara khazanah persuratan Melayu dan Islam, di samping memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Thailand.
