Sebagai sebahagian daripada inisiatif memperluas jaringan ilmu dan menyokong pembangunan literasi di peringkat sekolah, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam telah menyumbangkan sebanyak 370 naskhah buku dengan nilai keseluruhan RM10,437.96 kepada Perpustakaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Duyong, Melaka pada 18 April 2025.
Sumbangan ini adalah hasil permohonan rasmi daripada pihak sekolah melalui Unit Pusat Sumber SMK Seri Duyong, yang sedang melengkapkan perpustakaan baharu mereka dengan pelbagai bahan bacaan rujukan pendidikan, buku cerita, serta bacaan umum sesuai untuk pelajar sekolah menengah.
Langkah ini sejajar dengan komitmen PTAR untuk memperkukuh budaya ilmu di peringkat akar umbi melalui perkongsian sumber bacaan dan sokongan kepada institusi pendidikan. Sumbangan ini diharap dapat membantu pihak sekolah dalam memperkayakan koleksi perpustakaan serta menyediakan bahan rujukan berkualiti untuk manfaat pelajar dan guru.
Inisiatif sebegini juga mencerminkan peranan aktif PTAR dalam mendukung aspirasi “Malaysia MADANI” melalui pengembangan ilmu dan pembinaan komuniti pembaca berpengetahuan di seluruh peringkat pendidikan.
