Perpustakaan UiTM Shah Alam

History

Sejarah Perpustakaan Tun Abdul Razak

Penubuhan Perpustakaan ITM bermula dengan tertubuhnya Dewan Latihan RIDA  di Jalan Othman, Petaling Jaya. Pada awalnya, ia dikenali sebagai Perpustakaan RIDA yang memuatkan bahan-bahan bacaan kursus menyimpan kira-kira (Book Keeping), Perakaunan dan Kursus Persediaan bagi menduduki Peperiksaan London Chamber of Commerce (LCC). Pada permulaan penubuhan perpustakaan, segala pelaksanaan kerja berkaitan dengan perpustakaan hanya beroperasi di bilik yang terletak di tingkat satu bangunan lama Bahagian Pentadbiran Dewan Latehan RIDA. Selepas itu, perpustakaan telah berpindah ke aras bawah blok tambahan Bahagian Pentadbiran, Dewan Latehan RIDA untuk menampung pertambahan koleksi dan pelanggan. Pada tahun 1965, perpustakaan telah bertukar kepada Perpustakaan Maktab MARA sempena pertukaran dari Dewan Latihan RIDA kepada Maktab Latihan RIDA dan merupakan tahun pertama Perpustakaan Maktab MARA ditadbirkan oleh seorang yang bertauliah dalam bidang kepustakawanan. Jawatan Pegawai Perpustakaan yang sulung telah disandang oleh Puan Rugayah bt. Abdul Rashid (sekarang Puan Sri Rugayah Abdul Rashid) yang berkelulusan daripada University of Hawaii dalam bidang Sains Perpustakaan. Koleksi perpustakaan pada ketika itu terdiri daripada buku, jurnal, majalah, suratkhabar dan lain lain penerbitan yang hanyalah terdapat dalam Bahasa Inggeris terbitan luar negara.

Pada 14 Oktober 1967 nama Maktab MARA telah ditukar sekali lagi kepada Institut Teknologi MARA (ITM). Dalam masa yang singkat kampus ITM Jalan Othman telah mengalami kesesakan dengan pertambahan kursus-kursus profesional baru yang secara tidak langsung melibatkan pertambahan pelajar. Maka pada tahun 1972, kampus induk ITM telah dibina di sebuah bukit di Shah Alam. Di Kampus induk, perpustakaan ITM telah disediakan dengan sebuah bangunan khas sebanyak empat tingkat yang direka melalui  perbincangan dengan Ketua Pustakawan mengikut spesifikasi perpustakaan akademik.

Perpustakaan ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, iaitu Tun Abdul Razak pada 29 Julai 1972.  Nama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) diberi nama bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia tersebut. Pada tahun 1970an, walaupun sejumlah besar bahan-bahan yang diperolehi untuk koleksi perpustakaan adalah bahan-bahan bercetak, terdapat juga koleksi mikrofom (mikrofilem, mikrofis, dan filem 16mm).

Pada 26 Ogos 1999 di hadapan lebih daripada 15,000 orang pelajar, staf dan alumni, Perdana Menteri Malaysia ke IV, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan ITM akhirnya  di panggil Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dengan  perkembangan pesat yang berlaku di UiTM, maka perpustakaan tidak dapat menampung pertambahan koleksi, ruang bacaan dan muatan pelanggan. Oleh kerana bangunan perpustakaan yang sedia ada tidak dapat ditambah ruang kerana keluasan kawasan yang tidak membenarkan, maka bangunan-bangunan  perpustakaan tambahan telah dibangunkan di sekitar Kampus Induk Shah Alam. Kini terdapat tiga belas (13) buah perpustakaan fakulti dan rangkaian perpustakaan satelit yang terletak di kawasan sekitar Shah Alam,  Puncak Perdana, Puncak Alam, Sungai Buloh dan Selayang

Perpustakaan Induk UiTM

  • Perpustakaan Tun Abdul Razak (1972)
    Koleksi bahan adalah pelbagai meliputi bidang sains gunaan, pengurusan hotel, pelancongan, seni lukis, seni reka, perakaunan, komunikasi, pengajian media, perladangan, agroteknologi dan bahasa.

Perpustakaan Fakulti

  • Perpustakaan Pengurusan Perniagaan Tun Abdul Razak (1986)
    Pada awalnya, perpustakaan ini dikenali sebagai PTAR 2. Koleksi perpustakaan adalah berfokus kepada sumber rujukan untuk bidang pengurusan dan perniagaan.
  • Perpustakaan Alam Bina Tun Abdul Razak (1994)
    Perpustakaan ini dahulunya dikenali sebagai PTAR FSPU kerana ia menyediakan perkhidmatan rujukan untuk warga Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU). Koleksi perpustakaan adalah bertumpu kepada bidang seni bina yang meluas.
  • Perpustakaan Kejuruteraan Tun Abdul Razak (2003)
    Pada awal permbukaannya, ia dikenali sebagai PTAR 3. Koleksi perpustakaan adalah berfokus kepada kejututeran kimia, elektrik, mekanikal dan awam.
  • Perpustakaan Sains dan Teknologi Tun Abdul Razak (2004)
    Dikenali sebagai PTAR 4 pada awal pembukaannya. Fokus koleksi adalah bidang pergigian, sains sukan dan rekreasi serta sains komputer dan matematik.
  • Perpustakaan Undang-Undang Tun Abdul Razak (2012)
    Perpustakaan ini menyimpan banyak koleksi bidang  undang-undang. Bangunan perpustakaan tersebut adalah sama dengan Perpustakaan Pengurusan Perniagaan Tun Abdul Razak.
  • Perpustakaan Pentadbiran dan Pengajian Polisi Tun Abdul Razak (2012)
    Koleksi perpustakaan adalah berfokus kepada bidang pentadbiran dan pengajian polisi.
  • Flood Control Research Centre Library (2013)
    Koleksi perpustakaan adalah bertumpu kepada bidang penyelidikan kawalan banjir

Rangkaian Perpustakaan Satelit (Shah Alam)

  • Perpustakaan INTEC (1982)
    Perpustakaan INTEC adalah meliputi bidang pendidikan, program INTEC dan koleksi kanak-kanak.
  • Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Kampus Puncak Perdana (2004)
    Perpustakaan mempunyai koleksi merangkumi bidang pengurusan maklumat, filem, teater dan animasi.
  • Perpustakaan Perubatan UiTM Kampus Selayang (2005)
    Perpustakaan memberi fokus kepada bidang perubatan.
  • Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak UiTM Kampus Sungai Buloh (2007)
    Perpustakaan memberi fokus kepada bidang perubatan.
  • Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Kampus Puncak Alam (2008)
    Perpustakaan menyimpan koleksi bidang farmasi, sains kesihatan, pengurusan perniagaan, pengurusan hotel, senilukis dan seni reka.
  • Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak UiTM Kampus Telok Intan (2011)
    Fokus koleksi adalah dalam bidang perubatan.

Perkembangan pesat UiTM telah memperlihatkan penubuhan UiTM Cawangan di seluruh negeri di Malaysia yang kini dikenali dengan UiTM Negeri. Perkembangan Perpustakaan UiTM Negeri adalah seiring dengan pembangunan UiTM Negeri  bertujuan untuk memberi perkhidmatan perpustakaan kepada pelanggan. Perpustakaan UiTM Negeri adalah seperti berikut:

  1. Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Sabah (1973)
  2. Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Sarawak (1973)
  3. Perpustakaan Dato’ Jaafar UiTM Perlis (1974)
  4. Perpustakaan Cendekiawan UiTM Terengganu (1975)
  5. Perpustakaan Tun Dr. Ismail UiTM Cawangan Johor (1984)
  6. Perpustakaan UiTM (Melaka) (1984)
  7. Perpustakaan Tengku Anis UiTM Cawangan Kelantan (1985)
  8. Perpustakaan Al Bukhari UiTM (Pahang) (1985)
  9. Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM (Perak) (1985)
  10. Perpustakaan UiTM (Pulau Pinang) (1996)
  11. Perpustakaan Sultan Badlishah UiTM Cawangan Kedah  (1996)
  12. Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Negeri Sembilan (1999)

Secara keseluruhannya, jumlah perpustakaan di bawah sistem UiTM adalah :

Kampus UiTM Induk
UiTM Shah Alam  : 8 buah
Rangkaian Perpustakaan Satelit (Shah Alam) : 6 buah

Kampus UiTM Negeri
Perpustakaan Kampus Negeri : 12 buah
Rangkaian Perpustakaan Kampus Satelit Negeri  :  1 buah

Kampus PFI
Perpustakaan Kampus Satelit Negeri (PFI Fasa I)    : 6 buah
Perpustakaan Kampus Satelit Negeri (PFI Fasa II)   : 5 buah

You are here: Home About Us History